Kecekalan masyarakat tempatan bangunkan semula Aceh - Artikel Kosmo

by - 11:07 PG


Beberapa peserta program bergambar sebagai kenangkenangan ketika berada di Aceh.


PADA 26 Disember 2004 menjadi tarikh yang dikenang sebahagian besar masyarakat di dunia terutamanya di Aceh, Indonesia.
Tragedi bencana alam itu telah me­ragut kira-kira lebih 249,579 nyawa di lapan buah negara dalam sekelip mata.
Peristiwa yang sangat memilukan itu menjadi antara lipatan sejarah paling duka yang melanda negeri terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu saat buminya dibadai tsunami dahsyat ekoran gegaran gempa bumi yang kuat.
Akibat gegaran gempa dengan kekuat­an 9.3 skala Ritcher itu, Banda Aceh yang merupakan pusat ekonomi dan ibu negeri Aceh menjadi rata bak padang jarak padang tekukur.
Kesan tsunami itu turut dirasai di lapan negara lain yang turut terkena tempias tsunami.
Bagi menyingkap kembali sejarah hitam tsunami yang membadai Aceh, mahasiswa undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkunjung ke Banda Aceh, Indonesia bagi mengadakan satu program Kasih Tanpa Sempadan baru-baru ini.
Pensyarah Kanan, UUM COLGIS, Dr. Fauziah Mad. Nor berkata, program dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Rakilla Insani itu berorientasikan kebajikan untuk membantu masyarakat Aceh dengan menyalurkan sumbangan kewangan, makanan, peralatan tulis dan kelas pendidikan.
Menurut Fauziah, dia pernah beberapa kali ke Aceh dan nampak kebesaran Allah di sebalik tragedi tsunami yang terkandung 1,001 hikmah itu.
Mendidik
Pembangunan semula Aceh masih berjalan sehingga kini dan memerlukan banyak dana.

Sekumpulan peserta perempuan mencuci peralatan bersama-sama selepas jamuan diadakan.


“Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan kecekalan masyarakat tempatan membangunkan semula Aceh yang pernah musnah akibat tsunami 12 tahun lalu.
“Usaha ini mendidik mahasiswa membiasakan diri menolong orang. Asuh pelajar bukan setakat cemerlang dalam pelajaran tetapi kami mahu jadikan mereka prihatin dengan masyarakat yang dihimpit kesusahan dengan melakukan kerja amal,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Siti Nurashikin Fuaddin, 23, menyifatkan, kenangan di bumi Aceh memberi pengalaman berharga untuk dijadikan inspirasi dalam hidupnya.
Siti Nurashikin tidak menyangka dia akan dibawa ke lokasi itu untuk menyantuni salah seorang mangsa tsunami iaitu Sanak Hadi, 85.
Ketika menceritakan detik cemas itu kepada Siti Nurashikin, Sanak berkata, kejadian berlaku pada awal pagi dengan gegaran, jeritan, bunyi yang kuat dan air bagaikan raksasa mengganas memusnahkan dinding rumah serta segala-galanya.
“Saat itu, dia hanya mampu berserah sambil mulutnya membaca al-Fatihah. Tiba-tiba, satu kapal datang ke rumah dan gerak hatinya kuat berbisik supaya menaiki kapal tersebut kerana rumahnya semakin ditenggelami air.
“Dia tidak tahu dari mana kapal itu datang, yang pasti bantuan Allah itu telah menyelamatkan 17 orang dan menganggap peluang kedua untuk hidup sebagai iktibar kepada orang lain,” jelas Siti Nurashikin.
Dalam pada itu, Pengarah Projek, Putera Amirool Faez Suhasi, 22, berkata, program ini bertujuan menggalakkan semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa.
Menurutnya, melalui aktiviti khidmat sosial sebegini, ia akan melahirkan pelajar berkebolehan melaksanakan program, berkualiti, kepimpinan serta memberi kesedaran betapa pentingnya kerja berpasukan.

Kanak-kanak di Aceh turut diberikan bantuan berupa peralatan persekolahan.


Semasa melawat Masjid Baiturrahman, Amirool Faez sempat bersembang dengan seorang imam yang menyifatkan bencana yang berlaku sebagai satu peringatan besar bukan sahaja kepada penduduk Aceh, tetapi umat Islam seluruh dunia.
Hudud
“Keruntuhan moral, gempa bumi, peperangan demi peperangan antara tanda kecil kiamat sangat banyak dirasakan sejak kewafatan Nabi Muhammad SAW.
“Selepas tragedi ini, masyarakat berubah dari segi penghayatan Islam. Hasilnya, Aceh mengamalkan undang-undang hudud yang sangat efektif untuk mengekang jenayah di samping penduduk yang memiliki akhlak mulia.
“Terdapat dua jenis polis di sini iaitu trafik dan syariah yang bertanggungjawab menangkap orang yang berzina, tidak bertudung, berdua-duaan lelaki perempuan dan mencuri, hukum hudud dijalankan selepas solat Jumaat di masjid sambil disaksikan orang ramai,” jelas iman itu kepada Amirul Faez.
Ujarnya, selepas pelaksanaan hudud, keadaan semakin aman dan kadar jenayah turun mendadak sehingga pengunjung berasa tenang serta tidak takut untuk ke mana-mana, Benarlah, undang-undang Allah itu bersifat mencegah bukannya menghukum.
“Ketika itu, kami sedang membelek barang, tuan kedai bergegas memberitahu 10 minit sebelum azan kedai akan ditutup dan menjemput kami datang kembali selepas solat, begitu sekali kesan tsunami,” jelasnya.
Selain itu mereka juga berkunjung ke Universitas Serambi Mekkah untuk menjayakan forum Aktiviti Kesukarelawan-Suatu Trend atau Keperluan? serta melawat Muzium Tsunami yang dilengkapi kesan khas untuk memberi pengunjung merasai detik cemas jika dilanda bencana alam itu.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0109&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm#ixzz4XxtHTqV9 
Hakcipta terpelihara 

You May Also Like

0 Bekas Tapak Kaki Pengembara