Rabu, 15 Februari 2017

About Powers

All powers may be abused if placed in unworthy hands, regardless of what position. However, it is difficult to find where to place the powers to be more safe than what had been practiced traditionally.
Seorang pengerusi sesebuah persatuan ada tendensi untuk berlaku curang dalam pentadbirannya andai dia mempunyai 'unworthy hand'.
Setiausaha bagi sesebuah syarikat yang arif dan mengetahui selok belok pentadbiran syarikat, berkemungkinan menyalahguna kuasa yang ada di tangannya untuk kepentingan peribadi sekiranya dia ada 'unworthy hand'.
Bendahari Kehormat sesebuah parti ada kala jadi gelap mata dengan duit apabila melihat angka-angka dalam kerja kira-kiranya sebegitu mewah jika ia punya 'unworthy hand'.
Terlebih kebebasan ('liberty') diberikan kepada orang biasa yang rebellious bisa menggagalkan sesebuah pentadbiran andai mereka punya 'unworthy hand'
'Unworthy hands' difikirkan dari minda yang tidak dilandasi dengan keupayaan moral dan sikap yang baik dalam diri. Masalah sebenarnya ialah akhlak yang perlu dicerahi dengan iman dan nilai kemanusiaan. Pabila ada akhlak yang jitu tanpa kepura-puraan, anggota tubuh badannya juga terpelihara dari menjadi 'unworthy hands'.
Namun, penyelesaian terhadap masalah menanam iman dalam diri seseorang bukan kerja dalam sehari dua. Usaha ini memerlukan usaha berterusan dari semua pihak bagi mewujudkan faktor 'internal' dan 'external' untuk seseorang itu menjadi insan yang baik akhlak dan terjaga perlakuannya.
-Zeaf I-sahus-

Selasa, 7 Februari 2017

Kecekalan masyarakat tempatan bangunkan semula Aceh - Artikel Kosmo


Beberapa peserta program bergambar sebagai kenangkenangan ketika berada di Aceh.


PADA 26 Disember 2004 menjadi tarikh yang dikenang sebahagian besar masyarakat di dunia terutamanya di Aceh, Indonesia.
Tragedi bencana alam itu telah me­ragut kira-kira lebih 249,579 nyawa di lapan buah negara dalam sekelip mata.
Peristiwa yang sangat memilukan itu menjadi antara lipatan sejarah paling duka yang melanda negeri terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu saat buminya dibadai tsunami dahsyat ekoran gegaran gempa bumi yang kuat.
Akibat gegaran gempa dengan kekuat­an 9.3 skala Ritcher itu, Banda Aceh yang merupakan pusat ekonomi dan ibu negeri Aceh menjadi rata bak padang jarak padang tekukur.
Kesan tsunami itu turut dirasai di lapan negara lain yang turut terkena tempias tsunami.
Bagi menyingkap kembali sejarah hitam tsunami yang membadai Aceh, mahasiswa undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkunjung ke Banda Aceh, Indonesia bagi mengadakan satu program Kasih Tanpa Sempadan baru-baru ini.
Pensyarah Kanan, UUM COLGIS, Dr. Fauziah Mad. Nor berkata, program dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Rakilla Insani itu berorientasikan kebajikan untuk membantu masyarakat Aceh dengan menyalurkan sumbangan kewangan, makanan, peralatan tulis dan kelas pendidikan.
Menurut Fauziah, dia pernah beberapa kali ke Aceh dan nampak kebesaran Allah di sebalik tragedi tsunami yang terkandung 1,001 hikmah itu.
Mendidik
Pembangunan semula Aceh masih berjalan sehingga kini dan memerlukan banyak dana.

Sekumpulan peserta perempuan mencuci peralatan bersama-sama selepas jamuan diadakan.


“Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan kecekalan masyarakat tempatan membangunkan semula Aceh yang pernah musnah akibat tsunami 12 tahun lalu.
“Usaha ini mendidik mahasiswa membiasakan diri menolong orang. Asuh pelajar bukan setakat cemerlang dalam pelajaran tetapi kami mahu jadikan mereka prihatin dengan masyarakat yang dihimpit kesusahan dengan melakukan kerja amal,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Siti Nurashikin Fuaddin, 23, menyifatkan, kenangan di bumi Aceh memberi pengalaman berharga untuk dijadikan inspirasi dalam hidupnya.
Siti Nurashikin tidak menyangka dia akan dibawa ke lokasi itu untuk menyantuni salah seorang mangsa tsunami iaitu Sanak Hadi, 85.
Ketika menceritakan detik cemas itu kepada Siti Nurashikin, Sanak berkata, kejadian berlaku pada awal pagi dengan gegaran, jeritan, bunyi yang kuat dan air bagaikan raksasa mengganas memusnahkan dinding rumah serta segala-galanya.
“Saat itu, dia hanya mampu berserah sambil mulutnya membaca al-Fatihah. Tiba-tiba, satu kapal datang ke rumah dan gerak hatinya kuat berbisik supaya menaiki kapal tersebut kerana rumahnya semakin ditenggelami air.
“Dia tidak tahu dari mana kapal itu datang, yang pasti bantuan Allah itu telah menyelamatkan 17 orang dan menganggap peluang kedua untuk hidup sebagai iktibar kepada orang lain,” jelas Siti Nurashikin.
Dalam pada itu, Pengarah Projek, Putera Amirool Faez Suhasi, 22, berkata, program ini bertujuan menggalakkan semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa.
Menurutnya, melalui aktiviti khidmat sosial sebegini, ia akan melahirkan pelajar berkebolehan melaksanakan program, berkualiti, kepimpinan serta memberi kesedaran betapa pentingnya kerja berpasukan.

Kanak-kanak di Aceh turut diberikan bantuan berupa peralatan persekolahan.


Semasa melawat Masjid Baiturrahman, Amirool Faez sempat bersembang dengan seorang imam yang menyifatkan bencana yang berlaku sebagai satu peringatan besar bukan sahaja kepada penduduk Aceh, tetapi umat Islam seluruh dunia.
Hudud
“Keruntuhan moral, gempa bumi, peperangan demi peperangan antara tanda kecil kiamat sangat banyak dirasakan sejak kewafatan Nabi Muhammad SAW.
“Selepas tragedi ini, masyarakat berubah dari segi penghayatan Islam. Hasilnya, Aceh mengamalkan undang-undang hudud yang sangat efektif untuk mengekang jenayah di samping penduduk yang memiliki akhlak mulia.
“Terdapat dua jenis polis di sini iaitu trafik dan syariah yang bertanggungjawab menangkap orang yang berzina, tidak bertudung, berdua-duaan lelaki perempuan dan mencuri, hukum hudud dijalankan selepas solat Jumaat di masjid sambil disaksikan orang ramai,” jelas iman itu kepada Amirul Faez.
Ujarnya, selepas pelaksanaan hudud, keadaan semakin aman dan kadar jenayah turun mendadak sehingga pengunjung berasa tenang serta tidak takut untuk ke mana-mana, Benarlah, undang-undang Allah itu bersifat mencegah bukannya menghukum.
“Ketika itu, kami sedang membelek barang, tuan kedai bergegas memberitahu 10 minit sebelum azan kedai akan ditutup dan menjemput kami datang kembali selepas solat, begitu sekali kesan tsunami,” jelasnya.
Selain itu mereka juga berkunjung ke Universitas Serambi Mekkah untuk menjayakan forum Aktiviti Kesukarelawan-Suatu Trend atau Keperluan? serta melawat Muzium Tsunami yang dilengkapi kesan khas untuk memberi pengunjung merasai detik cemas jika dilanda bencana alam itu.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0109&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm#ixzz4XxtHTqV9 
Hakcipta terpelihara 

Isnin, 9 Januari 2017

Sharing & Caring di Bumi Acheh "Kasih Tanpa Sempadan"

Baru semalam aku post pasal kenangan 2016 dan azam 2017 di blog.



Pagi ini menerima berita kesyukuran bahawa program kami “Sharing & Caring di Bumi Acheh: Kasih Tanpa Sempadan” pada tahun lepas telah dilaporkan dalam akhbar. Surat khabar Kosmo bertarikh 9 Januari 2017 di muka surat helaian tengah. Waima gembira, aku turut melahirkan rasa terkilan atas beberapa sebab.

1    1.  Kesalahan ejaan. Benar manusia tidak terlepas dari kesilapan namun sebagai wartawan yang berprinsip, seharusnya kesalahan ejaan seperti nama (cth: Dr Fauziah Mad Nor, sepatutnya, Dr Fauziah Mohd Noor), kata nama (cth; iman, sepatutnya imam) dan, sebaiknya dielakkan.

2. Gambar yang terpapar tidak menunjukkan wajah kesemua anggota yang menyertai. Bukan kerana mahukan nama atas usaha amal kebajikan yang dibuat namun bukankah program ini kenangan bersama?

3    3.  Dan beberapa lagi perkara yang tak tercapai seperti penghasilan buku.

4    4.   Kegagalan untuk wujudkan kesinambungan program ini secara intensif.


Sekalung penghargaan aku ucapkan buat pihak Universiti Utara Malaysia yang telah meluluskan Projek kami, pihak Majlis Perwakilan Pelajar membantu kami dalam urusan kertas kerja, Ashikin Miskam MPP Academics yang tidak pernah berhenti membantu memberi buah fikiran bernas kepada program kami walaupun sibuk dengan hal ehwal mahasiswa lain, Majlis tertinggi program dan ketua-ketua biro serta anggota-anggota di bawah biro yang bertungkus lumus menjayakan objektif program.
Penghargaan khas buat pengiring-pengiring Dr Fauziah Mohd Noor, Pak Megat, Umi Yani dan Abang Nazeri dari team Persatuan Raqilla Insani kerana membuka peluang kepada mahasiswa yang masih bertatih lagi mentah seperti kami ini untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan.


Dalam pertengahan semester, tawaran dibuka. Awalnya, program ini dirancang hanya untuk beberapa orang sahaja. Oleh kerana ramai rakan-rakan yang berminat, maka pendaftaran dibuka lagi sehingga lebih 20 orang yang menyertai. Dari 3 biro sahaja yang diwujudkan, segala kerja dikembangkan kepada 7 biro. Dengan itu, kebertanggungjawaban dapat dikongsi bersama. Bak kata pepatah, “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”. Ada juga anggota misi yang tak dapat terbang bersama namun melakukan kerja di belakang tabir.


Kertas kerja dirangka, disiapkan dan dibentang kepada pihak universiti. Oleh sebab masalah sistem, kelulusan projek agak lewat. Kendatipun begitu, kami terus bekerja walaupun kertas kerja belum diluluskan. Dugaan seperti assignment yang banyak dan musim peperiksaan kian menjelang tidak melemahkankan kami. Setiap kali perjumpaan kami sering mengingati antara satu sama lain, walau sibuk dengan projek, sebagai mahasiswa tidak sewajarnya mengabaikan tanggungjawab untuk belajar.


Projek kesukarelawanan ini dikendali bawah Exco Academik, maka kami berasa tanggungjawab elemen akademik sayugia diselitkan selaras dengan nilai mahasiswa yang kami pegang. Elemen pertama, mengadakan diskusi forum “Aktiviti Kesukarelawanan: Suatu Keperluan atau Trend?”. Elemen kedua, penghasilan buku tentang Kesukarelawanan dari perspektif anggota misi (belum dicapai). Forum diadakan bersama barisan pelajar Universitas Serambi Mekah. Walaupun dari segi prasarana mereka jauh di belakang, namun daya intelektual mereka sangat hebat.



Aktiviti di Kampung Kubah Masjid sungguh menginsafkan. Anak-anak kecil Bumi Acheh sangat jujur, tidak memegang barang milik kita selagi tak diberi izin. Warganya di sana mempercayai satu sama lain, umat Islam sangat memntingkan solat berjemaah pada awal waktu di masjid. Kedaifan mereka tidak melunturkan semangat mereka untuk menuntut ilmu dan terus maju ke hadapan. Masakan Pak Megat di sana sungguh mengiurkan, penduduk kampung di sana seakan-akan tidak sabra menunggu masakan itu benar-benar siap. Belum sempat daging kambing itu empuk, mereka sudah mencedok untuk makan walaupun liat. Jarang-jarang sekali dapat makan mewah seperti ini, kata mereka.









Segala tinggalan badai Tsunami membuatkan kami berfikir pentingnya mentaati perintah Allah dan mengikut Sunnah Rasulullah.










Ya Allah, Aku berharap untuk ke sana lagi. 

Zeaf I-sahus.

kisah dan berita selanjutnya boleh dibaca di:

- http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0109&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm

- http://fienahannani13.blogspot.my/2016/02/kasih-tanpa-sempadan-aceh.html

Ahad, 8 Januari 2017

2016 terus dikenang, 2017 mari berjuang.

Tak terlewat sekiranya aku mahu ucapkan Selamat Tahun Baru 2017. Moga tahun ini menjadikan kita insan yang lebih baik. Kesibukan dengan pelbagai urusan membuatkan aku kurang masa untuk menulis. Inikan kehidupan sebagai seorang mahasiswa, masih belum punya tanggungjawab. Tak terbayang pabila telah bekerjaya dan berumah tangga nanti. Sudah pasti semakin kurang masa untuk diri sendiri.

Mengenang memori tahun 2016.

1. Menjuarai Eco-Challenge ROTU Air Force Annual Camp.

Latihan intensif dan latihan kendiri untuk menjuarai Annual Camp pada 2016 telah membuka peluang bagiku untuk mencapai beberapa Senarai Hidup Ku.




2. Sharing and Caring di Bumi Acheh "Kasih Tanpa Sempadan"

Dengan bimbingan pensyarah kami, Dr Fauziah Mohd Noor, kami seramai 24 orang telah ke Bumi Acheh untuk melakukan khidmat masyarakat di sana. Program kami berlangsung dari 15 Februari 2016 sehingga 18 Februari 2016.




Selain mengadakan aktiviti di perkampungan mangsa-mangsa Tsunami, kami juga melawat rumah-rumah anak yatim dan memberi beberapa sumbangan. Tidak dilupakan juga, kami juga mengadakan diskusi Forum yang bertajuk "Kesukarelawanan: Keperluan atau Trend?".


Seharusnya, program ini dijalankan dari tahun ke tahun. Malangnya, atas kelemahan diri sendiri, tiada perancangan bagi menentukan kesinambungan program ini.



3. Ditauliahkan Sebagai Leftenan Muda PSSTUDM

Pada tanggal 20 Ogos 2016, aku telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Putera Amirool Faez bin Suhasi PSSTUDM. Anugerah watikah pentauliahan dikurniakan dari serahan tangan D.Y.M.M Paduka Seri Tuanku Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum D.Y.M.M Paduka Seri Tuanku Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, merupakan salah satu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.



4.Gallop Bersama Jemmy.

Ketika seminggu berlangsungnya Pesta Konvokesyen UUM, The Green Forest Horsemanship mengadakan program joy-ride bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menaiki kuda dengan bayaran serendah RM5.00 dua pusingan. Dari Pusat Ekuin ke Tapak Pesta Konvo kuda perlu ditunggang oleh mereka yang berkemahiran dan begitu juga perjalanan pulang. Aku diamanahkan untuk menunggang Jemmy, kuda kegemaranku, pergi dan balik. Ketika perjalanan pulang di waktu malam, Jemmy sudah panas dan mahu mengamuk. Ketika menuruni bukit di jalan belakang Dewan MAS, Jemmy memecut laju (gallop). Dalam situasi yang berbahaya sebegitu, Jemmy berjaya dikawal.




5. Random Trip to Shah Alam

Bersama 'Ishq Qaisara, random trip kami ke Shah Alam adalah untuk mengimbau kembali memori ketika menuntut di sini dalam pengajian Asasi Undang-Undang 4 tahun lalu. Selain itu, kami juga dapat berjumpa dengan beberapa orang rakan lama.


Itulah antara kenangan yang tak mungkin aku lupakan bagi tahun 2017

Azam tertanam buat perjuangan 2017.

1. Aku mahu buat "List".

I describe year 2017 as "A Year of List".

2. Aku mahu menjadi lebih sihat.

3. Aku mahu menabung dan lebih berjimat.

Tabungan tahun ini dilakukan secara mingguan. Minggu pertama, menabung RM1. Minggu kedua, menabung RM2. Minggu ketiga, RM3....Minggu ke-52, RM52. Pada hujung tahun, aku mahu melihat setakat mana yang dapat dikumpul.

4. Aku mahu menyiapkan penulisan buku pertama.

Memandangkan kecintaan terhadap subjek Jurisprudence semakin mekar di hati sejak pengajian di Asasi lagi, maka aku akan menulis semudah-mudahnya untuk mahasiswa undang-undang faham tentnag subjek ini.

5. Aku mahu....Rahsia.

Pabila berjaya dicapai nanti aku akan maklumkan.

Semoga azam kita di Tahun Baru 2017 ini tercapai. Berbekalkan iltizam yang tinggi dan usaha yang takkan berhenti, impian-impian kita mampu tercapai seperti yang diidam-idamkan.

Zeaf I-sahus.

Khamis, 24 Disember 2015

Secebis Kisah Sirah Kelahiran Junjungan Nabi Muhammad saw.

Semakin kita menyelami kisah sirah baginda Nabi Muhammad saw, semakin cinta kita kepada baginda. Para tabiin mengajarkan sirah Nabi Muhammad saw sepertimana mereka mementingkan pendidikan al-Quran.

Sirah sejarah kisah kelahiran Nabi Muhammad saw yang tercinta bukanlah bermula pada tanggal 12 Rabiul Awal. Malahan kisahnya bermula lebih awal bahkan lebih terdahulu.

Keturunan Nabi Ibrahim a.s.

Bersama isteri pertama, Nabi Ibrahim a.s. telah menunggu sekian lama untuk menerima zuriat namun tiada rezeki. Ketika berusia 82 tahun, Nabi Ibrahim a.s. telah berkahwin dengan isteri keduanya iaitu Siti Hajar. Baginda dan Siti Hajar dianugerahkan dengan seorang anak yang bernama Ismail a.s. yang dilahirkan di bumi Syam. Allah telah memerintahkan mereka untuk berpindah ke selatan di suatu lembah yang kering kontang.

Setelah sampai di situ, Allah memerintahkan Ibrahim a.s. meninggalkan mereka berdua di lembah tersebut. Maka, Ibrahim a.s. meneruskan perjalanan.

Ringkaskan cerita, setelah selang beberapa tahun, Ibrahim a.s. kembali ke lembah tersebut dan mendapati Ismail a.s. anaknya sudah besar. Lantas, Allah telah memerintahkan Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. untuk mendirikan Kaabah. Allah memberitahu Ibrahim a.s., "Akan Kami wariskan kota Mekah ini kepada keturunanmu"

Maka, di sini lah bermulanya kisah kelahiran Nabi Muhammad saw.

Sejurus itu, Nabi Ibrahim dengan pantas memohon kepada Allah. Permohonan inillah yang paling bermakna bagi umat manusia sejagat.

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka, menyucikan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Al Quran: Al-Baqarah: 129)

Jawapan Allah Terhadap Doa Ibrahim a.s.

"Sungguh, Allah telah memberi karunia kepada orang-orang beriman ketika Allah mengutus seorang Rasul di tengah-tengah mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan jiwa mereka, dan mengajarkan kepada meraka Kitab Alquran dan Hikmah Sunnah, meskioun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata" (Al-Quran: Ali Imran: 164)

Nama diberi, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdu Munaf bin Qusayy bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luayy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadir bin Kinana bin Khuzaymah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudhr bin Nizar bi Ma'd bin Adnan bin Ishmaeel a.s. bin Ibrahim a.s.

Ketika kelahiran Baginda Muhammad saw, baginda dilahirkan dalam keadaan telah terpotong tali pusatnya dan telah berkhitan. Tiada darah atau kotoran keluar darinya dan Aminah, ibunya, tidak merasa sedikit pun kesakitan. Keluar bersama bayi itu cahaya yang menerangi seluruh rumah tersebut. Kemudian mengembang cahaya itu ke seluruh Kota Mekah. Kemudian mengembang tersebar lagi cahaya itu menerangi ke seluruh Jaziratul Arab sehingga ke sempadan Rom, Parsi, Habsyah dan Mesir.

Adat tahyul orang Jahiliyyah pada ketika itu, apabila lahir seorang bayi, bayi itu hendaklah dibedung dan disimpan di dalam periuk tanah selama sehari. AsSyifa membedung Muhammad saw dan meletakkan ke dalam periuk. Sebaik sahaja bayi itu dibedung dan diletak dalam periuk, sebentar sahaja mereka duduk, tiba-tiba terdengar sebuah dentuman yang amat kuat. Lalu mereka bersegera terburu-buru mendapatkannya. Apabila mereka sampai kepada Muhammad saw, mereka mendapati periuk tanah tadi sudah pun pecah.

Mereka melihat Nabi Muhammad saw yang masih bayi ketika itu duduk dalam keadaan duduk antara dua sujud, sambil menajamkan pandangan matanya ke arah langit dan menggenggam segenggam pasir. Simboliknya, pecah periuk itu, pecahlah segala tahyul, taghut dan kesesatan yang diamalkan oleh masyarakat Jahiliyyah selama ini. Mendongak ke langit itu simboliknya adalah ia mendapat kekuatan daripada Rabbul Jalal Allah swt atas perjuangannya ketika meningkat dewasa nanti. Genggaman pasir itu simboliknya seluruh dunia ini bakal berada dalam genggamannya.

Kemudian datang segumpalan awan lalu meliputinya dan mengangkat ia dibawa pergi. Satu suara telah berbunyi:

"Bawalah bayi ini ke Timur dan Barat dunia,
supaya semua mereka itu kenal kecantikannya, dan sifat rupanya,
Berikan kepadanya kejadiannya seperti kejadian Adam a.s.
Makrifatnya seperti Syith a.s.
Keberaniannya seperti beraninya Nuh a.s.
Fasihnya dalam berbicara seperti Salleh a.s.
Hampirnya dekat dengan Allah seperti Ibrahim a.s.
Sifat pasrahnya Ismail a.s.
Keredhaan hatinya Ishak a.s.
Pengetahuan sebelum berlaku sesuatu perkara seperti yang telah dianugerahkan kepada Yaakub a.s.
Kecantikannya seperti Yusuf a.s.
Kemerduan suaranya persis merdunya suara Daud a.s.
Tegasnya sepertimana tegas Musa a.s.
Sifat jati dirinya seperti Ilyas a.s.
Semangat juangnya seperti Yushak a.s.
Cintanya pula sebagaimana cinta Danial a.s.
Kezuhudannya seperti Isaa a.s.
Maksum sebagaimana maksumnya Yahya a.s.
Dan celupkan ke dalam dirinya ke semua sifat Nabi-Nabi."

Buat kita, Umat Muhammad.

Kisah Nabi, untuk diceritakan, tidak cukup satu dua hari. Sebagai umatnya kita perlu mengaji dengan lebih mendalam tentang Baginda Muhammad saw.

Seandainya Nabi Ibrahim as meminta lembah bukit di Mekah menjadi emas, maka emas lah ia ketika itu. Tetapi Baginda Nabi Ibrahim berpandangan jauh, sekiranya emas yang dipoho maka emas itu akan habis. Sekiranya Nabi yang dipinta, maka akan selamat dan sejahteralah keturunan cucu cicitnya termasuklah umat manusia di dunia ini berada dalam ketaan Allah.

Kecintaan kita kepada Rasullulah yang mulia seharusnya berada dalam setiap hati kita. Rasulullah merupakan kekasih Allah. Selain memperbanyak selawat kepada baginda, amalan sunnah baginda juga sewajarnya menjadi ikutan.

Zeaf I-sahus,
23 Disember 2015 (12 Rabiul Awal)
"Birth of beloved Prophet Muhammad."

Rujukan:
Al Quran (Al-Baqarah: 129)
Al Quran (Ali-Imran: 164)
When The Moon Split: A biography of Prophet Muhammad saw.
Ibn Katsir, Al-Bidayah Wan Nihayah.