2016 terus dikenang, 2017 mari berjuang.
Tak terlewat sekiranya aku mahu ucapkan Selamat Tahun Baru 2017. Moga tahun ini menjadikan kita insan yang lebih baik. Kesibukan dengan pelbagai urusan membuatkan aku kurang masa untuk menulis. Inikan kehidupan sebagai seorang mahasiswa, masih belum punya tanggungjawab. Tak terbayang pabila telah bekerjaya dan berumah tangga nanti. Sudah pasti semakin kurang masa untuk diri sendiri.
Mengenang memori tahun 2016.
1. Menjuarai Eco-Challenge ROTU Air Force Annual Camp.
Latihan intensif dan latihan kendiri untuk menjuarai Annual Camp pada 2016 telah membuka peluang bagiku untuk mencapai beberapa Senarai Hidup Ku.
2. Sharing and Caring di Bumi Acheh "Kasih Tanpa Sempadan"
Dengan bimbingan pensyarah kami, Dr Fauziah Mohd Noor, kami seramai 24 orang telah ke Bumi Acheh untuk melakukan khidmat masyarakat di sana. Program kami berlangsung dari 15 Februari 2016 sehingga 18 Februari 2016.
Selain mengadakan aktiviti di perkampungan mangsa-mangsa Tsunami, kami juga melawat rumah-rumah anak yatim dan memberi beberapa sumbangan. Tidak dilupakan juga, kami juga mengadakan diskusi Forum yang bertajuk "Kesukarelawanan: Keperluan atau Trend?".
3. Ditauliahkan Sebagai Leftenan Muda PSSTUDM
Pada tanggal 20 Ogos 2016, aku telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Putera Amirool Faez bin Suhasi PSSTUDM. Anugerah watikah pentauliahan dikurniakan dari serahan tangan D.Y.M.M Paduka Seri Tuanku Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum D.Y.M.M Paduka Seri Tuanku Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, merupakan salah satu kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan.
4.Gallop Bersama Jemmy.
Ketika seminggu berlangsungnya Pesta Konvokesyen UUM, The Green Forest Horsemanship mengadakan program joy-ride bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menaiki kuda dengan bayaran serendah RM5.00 dua pusingan. Dari Pusat Ekuin ke Tapak Pesta Konvo kuda perlu ditunggang oleh mereka yang berkemahiran dan begitu juga perjalanan pulang. Aku diamanahkan untuk menunggang Jemmy, kuda kegemaranku, pergi dan balik. Ketika perjalanan pulang di waktu malam, Jemmy sudah panas dan mahu mengamuk. Ketika menuruni bukit di jalan belakang Dewan MAS, Jemmy memecut laju (gallop). Dalam situasi yang berbahaya sebegitu, Jemmy berjaya dikawal.
5. Random Trip to Shah Alam
Bersama 'Ishq Qaisara, random trip kami ke Shah Alam adalah untuk mengimbau kembali memori ketika menuntut di sini dalam pengajian Asasi Undang-Undang 4 tahun lalu. Selain itu, kami juga dapat berjumpa dengan beberapa orang rakan lama.
Itulah antara kenangan yang tak mungkin aku lupakan bagi tahun 2017
Azam tertanam buat perjuangan 2017.
1. Aku mahu buat "List".
I describe year 2017 as "A Year of List".
2. Aku mahu menjadi lebih sihat.
3. Aku mahu menabung dan lebih berjimat.
Tabungan tahun ini dilakukan secara mingguan. Minggu pertama, menabung RM1. Minggu kedua, menabung RM2. Minggu ketiga, RM3....Minggu ke-52, RM52. Pada hujung tahun, aku mahu melihat setakat mana yang dapat dikumpul.
4. Aku mahu menyiapkan penulisan buku pertama.
Memandangkan kecintaan terhadap subjek Jurisprudence semakin mekar di hati sejak pengajian di Asasi lagi, maka aku akan menulis semudah-mudahnya untuk mahasiswa undang-undang faham tentnag subjek ini.
5. Aku mahu....Rahsia.
Pabila berjaya dicapai nanti aku akan maklumkan.
Semoga azam kita di Tahun Baru 2017 ini tercapai. Berbekalkan iltizam yang tinggi dan usaha yang takkan berhenti, impian-impian kita mampu tercapai seperti yang diidam-idamkan.
Zeaf I-sahus.
0 Bekas Tapak Kaki Pengembara