Secebis Kisah Sirah Kelahiran Junjungan Nabi Muhammad saw.

by - 9:25 PG

Semakin kita menyelami kisah sirah baginda Nabi Muhammad saw, semakin cinta kita kepada baginda. Para tabiin mengajarkan sirah Nabi Muhammad saw sepertimana mereka mementingkan pendidikan al-Quran.

Sirah sejarah kisah kelahiran Nabi Muhammad saw yang tercinta bukanlah bermula pada tanggal 12 Rabiul Awal. Malahan kisahnya bermula lebih awal bahkan lebih terdahulu.

Keturunan Nabi Ibrahim a.s.

Bersama isteri pertama, Nabi Ibrahim a.s. telah menunggu sekian lama untuk menerima zuriat namun tiada rezeki. Ketika berusia 82 tahun, Nabi Ibrahim a.s. telah berkahwin dengan isteri keduanya iaitu Siti Hajar. Baginda dan Siti Hajar dianugerahkan dengan seorang anak yang bernama Ismail a.s. yang dilahirkan di bumi Syam. Allah telah memerintahkan mereka untuk berpindah ke selatan di suatu lembah yang kering kontang.

Setelah sampai di situ, Allah memerintahkan Ibrahim a.s. meninggalkan mereka berdua di lembah tersebut. Maka, Ibrahim a.s. meneruskan perjalanan.

Ringkaskan cerita, setelah selang beberapa tahun, Ibrahim a.s. kembali ke lembah tersebut dan mendapati Ismail a.s. anaknya sudah besar. Lantas, Allah telah memerintahkan Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. untuk mendirikan Kaabah. Allah memberitahu Ibrahim a.s., "Akan Kami wariskan kota Mekah ini kepada keturunanmu"

Maka, di sini lah bermulanya kisah kelahiran Nabi Muhammad saw.

Sejurus itu, Nabi Ibrahim dengan pantas memohon kepada Allah. Permohonan inillah yang paling bermakna bagi umat manusia sejagat.

"Ya Tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka, menyucikan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana." (Al Quran: Al-Baqarah: 129)

Jawapan Allah Terhadap Doa Ibrahim a.s.

"Sungguh, Allah telah memberi karunia kepada orang-orang beriman ketika Allah mengutus seorang Rasul di tengah-tengah mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan jiwa mereka, dan mengajarkan kepada meraka Kitab Alquran dan Hikmah Sunnah, meskioun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata" (Al-Quran: Ali Imran: 164)

Nama diberi, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdu Munaf bin Qusayy bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luayy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadir bin Kinana bin Khuzaymah bin Mudrika bin Ilyas bin Mudhr bin Nizar bi Ma'd bin Adnan bin Ishmaeel a.s. bin Ibrahim a.s.

Ketika kelahiran Baginda Muhammad saw, baginda dilahirkan dalam keadaan telah terpotong tali pusatnya dan telah berkhitan. Tiada darah atau kotoran keluar darinya dan Aminah, ibunya, tidak merasa sedikit pun kesakitan. Keluar bersama bayi itu cahaya yang menerangi seluruh rumah tersebut. Kemudian mengembang cahaya itu ke seluruh Kota Mekah. Kemudian mengembang tersebar lagi cahaya itu menerangi ke seluruh Jaziratul Arab sehingga ke sempadan Rom, Parsi, Habsyah dan Mesir.

Adat tahyul orang Jahiliyyah pada ketika itu, apabila lahir seorang bayi, bayi itu hendaklah dibedung dan disimpan di dalam periuk tanah selama sehari. AsSyifa membedung Muhammad saw dan meletakkan ke dalam periuk. Sebaik sahaja bayi itu dibedung dan diletak dalam periuk, sebentar sahaja mereka duduk, tiba-tiba terdengar sebuah dentuman yang amat kuat. Lalu mereka bersegera terburu-buru mendapatkannya. Apabila mereka sampai kepada Muhammad saw, mereka mendapati periuk tanah tadi sudah pun pecah.

Mereka melihat Nabi Muhammad saw yang masih bayi ketika itu duduk dalam keadaan duduk antara dua sujud, sambil menajamkan pandangan matanya ke arah langit dan menggenggam segenggam pasir. Simboliknya, pecah periuk itu, pecahlah segala tahyul, taghut dan kesesatan yang diamalkan oleh masyarakat Jahiliyyah selama ini. Mendongak ke langit itu simboliknya adalah ia mendapat kekuatan daripada Rabbul Jalal Allah swt atas perjuangannya ketika meningkat dewasa nanti. Genggaman pasir itu simboliknya seluruh dunia ini bakal berada dalam genggamannya.

Kemudian datang segumpalan awan lalu meliputinya dan mengangkat ia dibawa pergi. Satu suara telah berbunyi:

"Bawalah bayi ini ke Timur dan Barat dunia,
supaya semua mereka itu kenal kecantikannya, dan sifat rupanya,
Berikan kepadanya kejadiannya seperti kejadian Adam a.s.
Makrifatnya seperti Syith a.s.
Keberaniannya seperti beraninya Nuh a.s.
Fasihnya dalam berbicara seperti Salleh a.s.
Hampirnya dekat dengan Allah seperti Ibrahim a.s.
Sifat pasrahnya Ismail a.s.
Keredhaan hatinya Ishak a.s.
Pengetahuan sebelum berlaku sesuatu perkara seperti yang telah dianugerahkan kepada Yaakub a.s.
Kecantikannya seperti Yusuf a.s.
Kemerduan suaranya persis merdunya suara Daud a.s.
Tegasnya sepertimana tegas Musa a.s.
Sifat jati dirinya seperti Ilyas a.s.
Semangat juangnya seperti Yushak a.s.
Cintanya pula sebagaimana cinta Danial a.s.
Kezuhudannya seperti Isaa a.s.
Maksum sebagaimana maksumnya Yahya a.s.
Dan celupkan ke dalam dirinya ke semua sifat Nabi-Nabi."

Buat kita, Umat Muhammad.

Kisah Nabi, untuk diceritakan, tidak cukup satu dua hari. Sebagai umatnya kita perlu mengaji dengan lebih mendalam tentang Baginda Muhammad saw.

Seandainya Nabi Ibrahim as meminta lembah bukit di Mekah menjadi emas, maka emas lah ia ketika itu. Tetapi Baginda Nabi Ibrahim berpandangan jauh, sekiranya emas yang dipoho maka emas itu akan habis. Sekiranya Nabi yang dipinta, maka akan selamat dan sejahteralah keturunan cucu cicitnya termasuklah umat manusia di dunia ini berada dalam ketaan Allah.

Kecintaan kita kepada Rasullulah yang mulia seharusnya berada dalam setiap hati kita. Rasulullah merupakan kekasih Allah. Selain memperbanyak selawat kepada baginda, amalan sunnah baginda juga sewajarnya menjadi ikutan.

Zeaf I-sahus,
23 Disember 2015 (12 Rabiul Awal)
"Birth of beloved Prophet Muhammad."

Rujukan:
Al Quran (Al-Baqarah: 129)
Al Quran (Ali-Imran: 164)
When The Moon Split: A biography of Prophet Muhammad saw.
Ibn Katsir, Al-Bidayah Wan Nihayah.

You May Also Like

0 Bekas Tapak Kaki Pengembara