Selasa, 5 Ogos 2014

Pinggan Mangkuk di Sinki

Pinggan Mangkuk

Hari ini bukan hari bekerja. Syahid dan Farid hanya duduk di rumah berdua. Walid dan Bonda ke Myanmar atas urusan perniagaan. Bibik pula perlu mengambil cuti pulang ke kampung menjaga anaknya yang menghidapi demam malaria.

Tinggallah mereka dua beradik.

Kerja-kerja rumah semakin bertimbun. Baju tidak berbasuh. Pinggan mangkuk periuk tidak dicuci. Lantai parquet yang cantik tidak disapu. Bilik tidur bersepah.

Syahid dan Farid runsing melihat semua itu. Kerja mereka sehari-hari hanya menonton televisyen, bermain Playstation III, makan dan tidur. Inilah padahnya jika ibu bapa tidak melentur buluh dari rebungnya dengan betul. Mereka tak reti untuk berdisilin. Semua urusan pekerjaan di rumah diserahkan kepada Bibik.

Mereka tidak betah lagi duduk dalam suasana rumah yang kotor. Tambahan pula, sampah lebihan makanan dan pinggan mangkuk yang tak berbasuh telah menukar aroma di dalam rumah tidak seperti selalu.

Syahid, sebagai yang lebih tua, memutuskan mereka berdua untuk membersihkan rumah agamnya ini. Rumah sahaja yang agam, tersergam indah, membuat mata-mata orang ramai yang lalu-lalang iri hati dengan kemegahan rumahnya.

" Farid, kita kena kemas rumah ni sekarang. Aku dah tak tahan dengan bau sampah ni, " arah Syahid.

" Haaa!!! Kemas? Yalah " Farid terkejut dan tidak mahu menolak walaupun dia terasa berat untuk mengemas. Sebenarnya dia tidak mahu berkelahi dengan abang sulungnya.

Satu hakikat yang perlu diterima, Syahid lebih berdikari berbanding Farid. Mungkin kerana Syahid lebih matang sesuai dengan bilangan umurnya. Mungkin juga Syahid berpengalaman menguruskan rumah sebelum Walid dan Bonda menggaji Bibik pada ketika dahulu sebelum Farid dilahirkan.

Menyedari hakikat ini, Syahid bersetuju membersihkan semua bahagian di rumahnya. Syahid tinggalkan bahagian dapur kepada adiknya untuk diuruskan.

Farid tahu kerjanya hanya sedikit sahaja jika dibandingkan dengan Syahid. Lantaran itu, Farid bertangguh. Farid terus asyik dan leka bermain Playstation III.

" Farid! Kau nak cari pasal kah? " jerkah Syahid yang sudah naik berang dengan sikap Farid. Syahid sudah pun melangsaikan bahagiannya, namun Farid masih belum bermula.

Farid pun memulakan kerjanya kerana tidak mahu berkelahi dengan abangnya. Namun, Farid tidak tahu mahu mula dari mana. Melihat pinggan, mangku, periuk, senduk, cawan dan barang-barang lain di sinki telah melunturkan sedikit semangatnya untuk berkemas. Farid tidak erani untuk bertangguh lagi, takut abangnya akan memarahinya.

Farid mulakan dengan membasuh cawan-cawan kecil. Kemudian sudu dan garfu. Seterusnya pinggan-pinggan kecil, mangkuk-mangkuk sederhana sehinggalah periuk-periuk yang besar.

Farid tidak sangka ia boleh melakukannya sedangkan dia ini anak yang manja.

Tidak cukup dengan itu, sinki juga kelihatan berkilat seperti baru setelah disental oleh Farid. Syahid terkejut dengan kebolehan Farid.

Iktibar pengajaran.

Sinki umpama kehidupan kita. Pinggan mangkuk ibarat urusan kehidupan kita.

Sering kali kita mengeluh dalam hidup kerana terlalu banyak kerja. Kehidupan kita terasa tersepit dek urusan kehidupan yang datang. Kadang kala kita berasa gagal kerana kita tidak dapat menyelesaikannya. Ditambah pula dengan masalah yang menerpa bersama dengan urusan tersebut.

Mulakan dengan urusan-urusan yang kecil, mudah dan dapat diselesaikan dengan segera.
Kurang masalah, ringan beban.
Teruskan melaksanakan urusan-urusan sederhana dengan usaha gigih dan tangkas.
Kurang urusan, lega fikiran.
Selesaikan urusan-urusan besar. Fokus dan usaha keras.
Tanggungjawab langsai, hidup gembira dan bermakna.
Malah kehidupan dirasakan lebih seronok kerana urusan yang sudah selesai seperti sinki yang cantik berkilat kerana tiada pinggan mangkuk yang mendiami kawasannya.

2 ulasan:

Rai Ourkizuna berkata...

perbandingan yang sangat baik.. :D


selamat hari raya~

Putera Amirool Faez Bin Suhasi berkata...

Tuhan mengajar kita untuk melihat alam dan kejadiannya kerana Dia sedang berbicara dengan kita.

Bahasa Allah bukanlah bahasa Arab.
Bahasa Allah adalah alam ini.