Hakikat IKHLAS Niat.
Subuh itu kutolak Baqir menjadi imam. Lama sudah tidak mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada insan yang qari. Tambahan pula, dia seorang 'sayyid' . Sayyid Baqir al-Munawwarah.
Hampir syuruk, kami ke bilik. Kawan-kawan lain sambung tidur, aku pun hampir sambung tidur.
Tiba-tiba Baqir membuka cerita.
Terus segar mataku.
Sudah lama tidak berbual sebegini. Aku masih ingat kali pertama Baqir dan aku bersembang dari waktu malam kira-kira jam 11 hingga awal pagi jam 4. Kami tidur lewat hari itu. Mujur kami tidur di surau, jika tidur di bilik mungkin sahaja terlepas solat Subuh.
Itulah kenangan di TGB.
Banyak penceritaan kisah kehidupan kami kongsikan bersama. Antara aku dan dia. Antara aku dan DIA. Antara aku dan 'dia'.
Satu kisah menarik Baqir sampaikan.
Pabila seseorang itu nak mati pun syaitan akan cuba untuk syirikkan Allah.
Ada seorang yang sedang nazak. Saudara-mara, sahabat-sahabat dan keluarga berada di sisinya. Mereka cuba mengajar insan yang sedang nazak itu untuk mengucap. Mereka risau dan mencuba berkali-kali. Namun sepatah ayat pun tidak terungkap di mulut insan yang sedang nazak itu.
Mungkin lisannya tidak mengungkap, namun hati insan itu sentiasa ingat Allah. Walaubagaimanpun, hal ini tidak diketahui sanak-saudara di sampingnya.
Anak-anak yang bakal yatim. Isteri yang bakal janda. Sahabat-sahabat yang bakal hilang teman. Jiran-jiran yang bakal hilang anggota masyarakat. Semuanya meraung-raung, kerana dia tidak lagi melafazkan 2 kalimah sayahadah. Lantaran itu mereka merayu kepada si nazak dan terus mendesaknya untuk mengucap.
Syaitan pun menggunakan peluang ini bagi menyesatkan si nazak itu. Syaitan pun datang di sisinya membisikkan, " Angkatlah jari telunjukmu!! Beritahu orang kesayangan yang berada di sisimu bahawa kau sudahpun mengucap di dalam hati. Bahawasanya engkau telah bersyahadah."
Lantaran mengetahui itu bisikan syaitan, si nazak enggan seraya berkata. "Tidak, tidak. Aku tidak mahu syahadah ku di dalam hati ini, tergelincir dari paksinya. Aku bersyahadah di dalam hati dengan paksi LILLAHI TAA'LA. Bukan kerana selain dari-Nya. Bukan kerana mahu mententeramkan hati sanak-saudara, anak-anak dan istriku."
"Tidakkah kau kasihan melihat mereka meraung, menderita. Angkatlah tanganmu." syaitan terus mencucuk.
"Jika aku angkat tanganku, itu bererti aku bersyahadah kerana MEREKA. Biarlah mereka menagis air mata darah sekalipun. Biarlah mereka tidak tahu. Biarlah apapun berlaku. Syahadahku LILLAHI TA'ALA." si nazak itu pun meninggalkan dunia ini dengan Syahadah jitunya.
Pengajaran
Syaitan akan terus-menerus cuba untuk pesongkan niat kita. Untuk itu, satu method yang pernah aku pelajari adalah dengan cara IKHLAS NIAT.
Setiap amalan yang kita lakukan kita ikhlaskan niat kita pada tiga peringkat.
AWAL amalan. Aku buat ini kerana Allah.
PERTENGAHAN amalan. Aku buat ini masih kerana Allah.
AKHIR amalan. Aku buat ini memang kerana Allah.
Mudah-mudahan kita bakal terselamat daripada ancaman syaitan untuk pesongkan niat kita. Lebih-lebih lagi ketika nyawa diragut sakaratulmaut.
1 Bekas Tapak Kaki Pengembara