Masih Ada Berhala Dalam Diri

by - 7:13 PG

Barangkali ada orang yang takut membaca tajuk di atas. Namun itulah hakikatnya yang sebenar. Dalam diri kita semua masih ada berhala.

Aku mengajak diri aku dan sahabat untuk muhasabah diri sendiri, di mana berhala itu?

Aku bawakan satu kisah.

Seorang guru sufi yang baik pekerti, berkongsi ilmunya bersama penduduk kampung pada suatu pagi.

"Dalam diri kita ni ada berhala sebenarnya,.." belum sempat sang wali Allah itu menghabiskan kata-katanya, orang kampung telah menfitnahnya.

"Sudahlah, jangan layan orang sufi sesat ni. Mana mungkin dalam diri kita ada berhala. Mulalah nak peningkan kepala orang." kata salah seorang pemuda penduduk kampung.

Orang kampung yang lain terpengaruh dengan cacian itu tadi dan terus meninggalkan guru sufi tersebut.

Guru sufi tersebut sedih namun tetap tenang kerana dia menganggap penduduk kampungnya belum faham dengan apa yang ingin disampaikannya. Dia tetap mendoakan hidayah kepada penduduk kampungnya supaya terbuka hati.

" Ya Allah, kau curahkanlah dulang-dulang kemaafan-Mu kepada diriku juga kepada orang kampungku. Limpahkan hidayah kepada diriku juga orang kampungku. Jangan kau jadikan aku dalam kalangan hamba-hamba ujian sebaliknya jadikanlah aku hamba-hamba kebaikan."

Doanya dimakbulkan oleh Allah Azza Wa Jalla.

Pemuda yang menuduhnya sesat tadi tergerak hati, ingin tahu mengapa guru sufi tersebut berkata begitu? Bagi mencari jawapan dia berjumpa dengan salah seorang anak guru sufi tersebut yang bernama Ismail.

"Mail, kenapa bapak kau cakap ada berhala dalam diri kita ni?" soal pemuda tersebut.

"Man, jom ikut aku pergi tepi pantai," ajak Ismail.

Ismail membawa pemuda, yang dikenali sebagai Man, tadi ke pantai dengan menaiki motosikalnya.

Setibanya di tepi pantai.

"Man, bawa sini kunci motor aku tu." Ismail sengaja membiarkan kunci motornya ditinggalkan.

"Nah," Man memberikan kunci tersebut.

"Man, kau pernah tak kalau kau hilang barang, kau cari tak jumpa-jumpa. Sampai dalam solat pun kau teringat-ingat. ?" Ismail menyoal dengan tenang.

"Pernah," Man menjawab.

"Kau rasa apa maksud dan tujuan solat, Man?" soal Ismail lagi.

"Confirm lah untuk mengingati Allah," jawabnya bersahaja.

"Dah tu, kenapa ingat barang yang kita hilang? Aku bagi satu analogi. Contohnya macam kunci aku ni. Andai kata aku hilang kunci. Tatkala aku solat aku teringat kunci ni. Perbuatan aku solat. Mulut aku, aku lafazkan bacaan solat. Tapi hati aku, aku ingat kunci, aku tak ingat Allah. Bermakna aku tak khusyuk. Apabila kita solat, kita menyembah apa yang hati kita khusyuk, Man. Kalau khusyuk ingat kunci, maka kunci lah yang kita sembah. Kalau khusyuk ingat Allah, maka Allah lah yang kita sembah. Apa ciri-ciri kunci ni? Kunci ni berbentuk, boleh dilihat, boleh dirasa. Apa ciri-ciri berhala? Berbentuk, boleh dilihat dan boleh dirasa. Terjawab soalan kau, Man? " penerangannya yang tenang membuatkan Man menyedari kesilapannya.

Man terus meminta maaf pada guru sufi tersebut dan membetulkan fitnah yang telah disebarkan kepada orang kampung.

Keterangan

Aku bukanlah orang yang layak memperkatakan tentang khusyuk solat. Namun inilah usahaku untuk dapatkannya. Dengan harapan, apabila aku berpesan, akulah orang pertama yang perlu muhasabah diri sendiri.

Berdasarkan cerita di atas, mari kita lihat rukun-rukun dalam solat. Rukun solat terbahagi kepada rukun fi'li, rukun qauli dan rukun qalbi.

Rukun Fi'li adalah perbuatan.

Rukun Qauli adalah lafaz dalam solat. Sebagai contoh bacaan solat.

Rukun Qalbi merupakan kekhusyukan hati kita.

Mungkin Fi'li kita solat. Mungkin Qauli kita melafaz. Namun belum tentu Qalbi kita khusyuk mengingati-Nya.

Jika kita kenal diri kita, maka kita akan kenal Tuhan kita. Jika kita kenal diri dan Tuhan, insya-Allah solat kita akan khusyuk.

La hawla wala quwata illabillahil a'liyyil a'dzim.

Hayati lirik lagu di bawah. Lagu ini merupakan salah satu lagu kegemaranku kerana liriknya yang memberikan pengajaran buat Hamba Allah.







Masih ada berhala 
Di dalam jiwamu itu
Belum kau musnahkan
Telah pun membatu kini
Amma-rah menguasaimu
Terhunjam ke bumi
Amma-rah menguasaimu
Terhunjam ke bumi
Amma-rah, amma-rah
Menyesatkan kau
Amma-rah peracun kalbu
Amma-rah, amma-rah
Menyesatkan kau
Amma-rah peracun kalbu
Amma-rah kembar si hawa
Berhala manusia dunia
Kau bawa Hawa kesombongan
Hala arah kepalsuan
Kau bawa riak megahmu
Menuju puncak yang kabur
Amma-rah terkulai kau kini
Di dalam sesak nafasmu

You May Also Like

0 Bekas Tapak Kaki Pengembara