HIGH CLASS SANGAT ...
Kerana pujuk dan ajakan dua orang sahabat, aku pergi juga ke "Forum Cinta high class" oleh Ustazah Fatimah Sharha di Masjid Tuanku Mizan. Sejujurnya aku sudah malas untuk datang mana-mana majlis keilmuan yang asyik berbicara tentang cinta.
Muak. Lagi-lagi cakap benda sama. Skripnya kerap kali diulang tayang.
Aku tak kata cinta tak penting. Sudah tentu cinta itu penting. Lagi-lagi cinta kepada Ilahi bukan cinta kampus.
Disebabkan perkara yang dibicara merupakan ilmu. Maka, aku pergi juga.
Insan pertama
Aku sungguh beruntung dan bersyukur, bukan kerana aku suka forum semalam, tetapi kerana insan-insan yang aku jumpa.
Sementara menunggu azan Maghrib berkumandang, aku duduk di satu sudut ruang solat Masjid Tuanku Mizan. Melihat persiapan yang dibuat oleh pihak masjid untuk program pada malamnya, fikiranku menerawang sebentar. Tiba-tiba, ada seorang pemuda yang menegurku.
" Ada program apa malam ni?, " dia bertanya.
" Tak tahulah," aku menjawab ringkas walaupun aku tahu tentang program itu kerana terkejut. Tiba-tiba saja ditegur.
" Aku, Fauzan," dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
" Faez," aku sambut tangannya.
Maka, bermulalah perbualan yang panjang. Pemikiran-pemikirannya amat aku minati dan sungguh membuka minda. Kadang-kadang terkena batang hidung sendiri. Pelajar semester akhir Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur ini sungguh aku kagumi kerana kerendahan hati dan hikmah dalam dirinya.
"Aku kurang suka lah dengan budak-budak macam tu," sambil mengisyaratkan kepada anak-anak muda yang berkopiah yang menunggu waktu Maghrib di sudut yang lain.
"Aku ni dop loh baik sangat. Jahat pun dop. Aku tengoh-tengoh. Dia orang ni dop bercampur dengang budok-budok laing. Kerja dia orang dok masjid, study, tidur, dok bercampur dengang kita yang dok pakai kopiah ni. Orang ajok maing futsal, dop buleh. Orang laing buat silap sikit, kena sindir. Dia sajo yang betul, orang laing tak soleh macam dia," sambungnya dalam loghat Terengganu.
Luahannya membuka skop pemikiran aku yang masih sempit mengenai dakwah. Apa yang dia katakan adalah benar belaka.
Aku setuju.
"Allahuakbar. Allahuakbar." azan pun berkumandang. Kami berlari ke talam. Sama-sama melakukan ta'am.
Memerhatikan orang lain sudah menjadi hobi aku sejak kecil lagi. Bagi aku, inilah proses pembelajaran.
Aku perhatikan cara Abang Fauzan makan.
Kerendahan hati dan hikmah yang dimiliki mempesonakan aku. Tatkala makan, dia memerhatikan orang lain yang tak dapat makan untuk makan setalam. Semalam kami makan satu talam enam orang.
Sempit dan makanan sedikit. Tapi inilah yang diamalkan para sahabat radiallahuanhum. Ikramul Muslimin atau memuliakan saudara.
Abang Fauzan akan meletakkan lauk dan nasi yang berada di bahagiannya ke tengah talam supaya orang lain dapat makan sekali. Sekali lagi aku kagum dengan beliau.
Apabila makanan sudah habis, masing-masing pergi meninggalkan talam. Mengelak untuk menghantar talam ke tempat sepatutnya. Semuanya mahu lepas tangan. Tapi, Abang Fauzan tetap tunggu walaupun dia sudah tidak mengunyah. Dia tetap tunggu orang terakhir habis makan kerana mahu menjaga hati orang tersebut supaya tidak rasa ditinggalkan.
Habis sahaja suapan terakhir, aku dan dia berebut mahu mengemas. Rendahnya hati dia, sedangkan dia 26 tahun dan aku hanya 18 tahun.
Semasa bersolat, aku bersolat sebelahnya dan berharap dapat bersalaman sekali lagi dengan insan yang aku anggap wali ini. Mungkin ilmunya tidak tinggi, amalnya tidak banyak. Tetapi hikmah di dalam diri dan juga kerendahan hati yang dimiliki telah membuatkan aku kagum.
Jika diberi pilihan untuk bersalaman dengan Perdana Menteri dan Abang Fauzan. Aku pilih Abang Fauzan.
Menunggu waktu Isyak
Selepas Maghrib, aku tak baca quran, hanya berzikir sedikit dan menulis serta berfikir. Aku memerhati keadaan sekeliling dan berfikir.
Melihat Imam besar lalu berfikir.
Melihat Ahli Abid lalu berfikir.
Melihat orang berkopiah lalu berfikir.
Melihat masjid lalu berfikir.
Lalu aku penat dan terus keluar, menikmati pemandangan seksyen 2 dari atas bukit Masjid Tuanku Mizan. Azan berkumandang, aku pun masuk semula.
Insan Kedua
Selepas solat sunat ba'diyah Isyak, aku berniat untuk terus balik ke kolej. Namun, Solihin menghulurkan salam dan menarik tanganku, mengajak aku datang ke majlis ilmu yang ditunggu ramai.
Kerana menjaga hati kawan, aku tunggu.
Solihin pun mulakan luahan perasaannya.
"Putera, aku ada persoalan nak tanya kau."katanya.
"Persoalan atau pertanyaan,? Persoalan, kau tahu jawapannya. Pertanyaan, kau tak tahu." responku setiap kali mana-mana individu menyatakan dia ada persoalan.
"Pertanyaan," nampaknya Solihin mencari jawapan.
Dia menyambung lagi," Pertanyaan pertama, orang yang nak berubah kena cari Allah. Kalau lapar, orang cari nasi. Kalau haus, orang cari air. Kalau nak berubah orang cari Allah. Macam mana nak cari Allah?"
"Carilah ustaz atau murabbi" getus hatiku. Tetapi aku hanya jawab "Tak tahu,"
"Pertanyaan kedua, kenapa da'i pada hari ini lebih banyak menyindir bila dia berdakwah? Kadang-kadand tu dia orang menghukum. Adakah dengan cara menyindir, dakwah berkesan?" tanyanya lagi.
"Pertanyaan ketiga, kenapa orang berkopiah, berjanggut, duduk masjid, muka mereka perlu masam sampaikan orang nak tegur pun jadi takut?" tanyanya lagi.
"Masa aku duduk diam-diam dalam masjid ni tadi, aku perhatikan orang sekeliling dan meletakkan diri aku sebagai seorang yang nak berubah mencari Allah, tapi aku tak tahu. Maka, timbullah pertanyaan-pertanyaan itu tadi." jelas Solihin. Tak sangka Solihin juga punya hobi memerhati sepertiku.
Aku tak menjawab satu pun pertanyaan daripadanya. Bukan kerana apa, aku hanya takut orang tak sama fikrah.
Aku setuju dengan pertanyaan juga luahan perasaan Solihin. Pertanyaannya seakan-akan sama dengan buah fikiran Abang Fauzan.
Perspektif sendiri
Pengakuan berani mati aku ingin buat di sini. Aku suka menyertai Tabligh. Aku sertai bukan kerana nak belajar ilmu agama tetapi kerana karkun-karkunnya sangat sempoi.
Asbab sempoi mereka banyak perubahan yang aku dapat dalam diri dan juga dalam pelajaran. Alhamdulillah.
Satu orang karkun(orang pernah keluar jalan Allah) beritahu saya,
" As daie, you have to do less correcting and more connecting, " .
Mesejnya amat jelas. Hari ini jika dilihat, orang ramai sangat duduk surau, mengabdikan diri, hanya sibuk hal diri sendiri. Bukan salah atau mahu membantah. Abdikan diri kepada Allah itu bagus dan mendapat pahala.
Apabila dikatakan dakwah, orang ramai menganggap tazkirah. Apakah mereka fikir ilmu selama 2 jam dapat mengubah keseluruhan kehidupan manusia ???
Dakwah yang jemaah tabligh ajar adalah menjalinkan hubungan. Inilah yang dikatakan CONNECTING. Orang yang buat usaha tabligh biasanya akan kekalkan persahabatan dan menjaga perhubungan yang tercipta.
Orang tabligh tak kisah sahabatnya seorang yang bertatu.
Orang tabligh tak kisah sahabatnya seorang penzina.
Orang tabligh tak kisah sahabatnya seorang yang teruk akhlak.
Mereka yakin dan terus berdoa Allah akan turnkan hidayah kepada sahabatnya itu. Mereka tak kisah bukaN kerana mereka redha dengan perbuatan dan dosa sahabat mereka. Tetapi mereka tak mahu sahabatnya lari daripadanya yang suka menghukum(CORRECTING).
TABLIGH?? MEREKA MEMANG SEMPOI!!! (Y) :D
6 Bekas Tapak Kaki Pengembara