Minat Membaca : Membaca Jambatan Ilmu, Membaca Penyingkap Keajaiban

by - 9:03 PG

Seorang Penulis Bukan Seorang Pembaca

Aku merupakan seorang yang bercita-cita mahu menjadi penulis. Namun, aku bukan seorang yang minat membaca. Ada pepatah yang kata, "Before be a writer, he must be a reader,". Berbeza dengan aku, aku hanya suka menulis tetapi tidak membaca. Sejak di bangku persekolahan lagi cikgu-cikgu memuji hasil karangan dan penulisan yang aku coretkan.

Dua faktor. Mungkin.

Pertama, bakat menulis aku warisi daripada Mama. Kedua, aku sangat rajin mengarang puisi-puisi dengan kosa kata yang pelbagai.

"Membaca Jambatan Ilmu" . Aku selalu gunakan kata-kata ini dalam karangan sekolah namun aku sendiri tidak suka membaca.

Pernah juga aku cuba untuk pupuk minat membaca. Seingatku selepas SPM. Cuti 4 bulan aku cuba menelaah buku "A Biography of Prophet Muhammad : When the Moon Split,". Itulah buku pertama yang aku berjaya habiskan untuk membacanya.

4 bulan untuk satu buku. Sangat lembap. Kalau Mama, sudah pastu sudah berapa banyak novel telah dia habiskan jika dia seusiaku.

Buku kedua, aku baca selepas Asasi. Karangan Ustaz Hasrizal bertajuk Murabbi Cinta.

Buku Ketiga.

Minggu lepas, Dr. Fauziah Mohd Noor atau lebih disenangi dengan panggilan Madam Fauziah, telah menghadiahkan buku karangannya kepada aku. Buku tersebut bejudul "Manisnya Kurma Ini". Pada awalnya, aku mahu membelinya kerana sudah terseronok membaca separuh isi buku tersebut.

"Tak apalah, awak ambil sahaja. Ini hadiah for your participation in class." kata Madam.

Teragak-agak aku mahu mengambilnya.

"Pernahkah aku participate dalam kelas?," getus hatiku bertanya diri sendiri. Akulah mahasiswa yang paling diam di kelas. Tidak selantang seperti di Asasi dulu. Rakan-rakan sekelas Asasi dulu pun perasan yang aku sangat pendiam di kelas. Macam budak baik.

There was a long pause.

"Ambillah,". Madam sudah lama menghulur, mataku pula masih memandang bukunya. Aku berkira-kira mahu terima atau tidak. Tidak adillah andai aku mengambilnya kerana ramai lagi yang lantang participate dalam bilik kuliah.

Aku toleh ke belakang, kelihatan beberapa orang pelajar masih berada dalam bilik kuliah, lalu menoleh ke hadapan semula. Dengan ucapan terima kasih buku itu aku terima dan segera dimasukkan ke dalam beg. Aku tidak mahu sesiapa terlihat kerana takut mereka cemburu dan kata Madam bias.

Bukunya tinggal tidak banyak lagi. Ada tiga buah. Aku ambil satu. Tinggal dua.

Rezeki aku pada hari itu. Aku tidak membacanya terus, kerana jasad jiwaku dilesukan oleh kesedihan yang melampau.

Beberapa hari selepas itu, aku telah menelaah buku Madam sebanyak 3 kali. Berulang-ulang kali aku telah baca rupanya. Kesedihan yang dilanda juga semakin reda asbab membaca buku Madam.

Seronok membacanya.

Pelbagai perasaan yang timbul.

Andai aku tidak kenal akan Madam, adakah aku seronok membacanya?

Buku keempat???

Semalam kami ada Islamic Law presentation. Pembentangan kami merupakan kertas kerja tulisan Madam Fauziah sendiri yang berjudul The Approach of Preventing Indecent Act in Malaysia with special reference to khalwat raid-A Conflict between Islamic Ethic and Maqasid as-Shariah. Sebelum pembentangan, Madam masuk ke kelas. Masih ramai yang belum tiba di kelas.

Madam Fauziah tidak terus ke meja pensyarah sebaliknya terus mencari tempat duduk di kerusi pelajar di bilik tutorial.

Madam menarik perhatianku kerana beliau melalui jalan yang tidak biasa dilaluinya. Tiba-tiba Madam menghulurkan sebuah buku kepadaku. Semakin terkejutlah aku. Kenapa aku?

"Inilah buku anak murid saya yang ada dalam buku saya tu." kata Madam.

Aku terpinga-pinga. "Oh," ini sahaja responku dan mengambil buku itu dari huluran tangannya.

"Oh, yang ni, yang dah meninggal tu" tiba-tiba Syairah Khalil datang menyampuk dan menelek-nelek buku itu.Kami sudah biasa dengan sifat keramahan Syairah.

"Bacalah," kata Madam lagi.

Selepas Isyak, aku berasa malas untuk memikirkan tentang assignment lalu membaca buku tersebut dengan khusyuknya. Aku tidak mengenali penulisnya tetapi cerita yang dibawa bersangkutan dengan negara Pakistan dan India. Sememangnya aku mempunyai cita-cita untuk ke dua negeri tersebut selepas tamat pengajian ijazah. Moga Allah terima azam ini.


Aku tak percaya dapat menghabiskan membaca buku ini hanya satu malam sedangkan aku seorang yang sangat malas membaca. Ajaib.

Ceritanya cukup santai, menggambarkan tentang kebudayaan di Pakistan. Penulis merupakan seorang diplomat di Islamabad. Banyak yang dapat dipelajari daripada buku itu. Catatan terakhir ditulis oleh isteri penulis. Catatan tersebut telah membuat air mataku bergenang.

Penulis telah dijemput Ilahi. Meninggalkan seorang isteri, dan dua orang anak kecil yang mungkin tidak mengetahui lagi erti kehilangan atau kesedihan. Mungkin juga mereka tahu.

Al-Fatihah buat penulis.

Kemungkinan

Apakah kemungkinan sekiranya aku tak kenal Madam?

Buku Madam amat seronok dibaca kerana aku kenal akan penulisnya.

Satu refleksi buat diri dan semua.

Sebagaimana buku seronok dibaca kerana penulisnya kita kenal. Sebegitu juga al-Quran akan seronok dibaca jika kita KENAL akan ALLAH.

Renungkan.

You May Also Like

1 Bekas Tapak Kaki Pengembara