Buat macam Mama.

by - 4:24 PTG

Mama tiada di rumah. Mama dimasukkan ke hospital kerana ketumpahan darah disebabkan rahim yang tidak kuat. Alhamdulillah, foetus dalam rahim tidak terjejas dan Mama kian pulih.

Tugas Mama di rumah, aku dan Papa yang gantikan nampaknya.

Pagi ini aku bangun Subuh. Papa kejutkan. Lalu aku kejutkan Awina.

"Ayang, bangun. Kata nak bangun awal." aku mengejutkannya.

"Kenapa Abang tak kejut pukul 6.30 ?" soalnya sejurus bangkit dari tidur. Awina suka bangun jam 6.30. Awina akan marah jika mengejutkannya lewat. Awina ada 'duti tertentu' di rumah tingkat bawah.

"Ni pukul 6.30 lah ni. Jom bangun," aku meyakinkannya.



"Abang pergi sembahyang dulu, Ayang nak susun 'bear' Ayang dulu,". Inilah duti anak-anak kecil. Mereka ada rasa tanggungjawab terhadap anak patung dan alat permainan mereka.

Sambil aku bersolat, dia menyiapkan sendiri barang-barang yang mahu dibawa ke sekolah.

Selesai solat Subuh.

"Ayang Awina! Mandi!" Aku memanggilnya.

"Hari ni Ayang pakai baju kuning." Awina mengingatkan seperti hari-hari biasa walaupun Mama yang uruskan.

"OK," aku jawab sebagai tanda faham.

Aku pun memandikan Awina.

"Abang, bukalah air panas! Ayang sejuk ni! Mama selalu mandikan Ayang pakai air panas!" dia mengarah dengan nada yang agak tinggi. Biasalah. Anak kecil memang akan berasa hatinya mahu marah tatkala pagi hari. Aku juga dahulu begitu. Tidak adil bagiku untuk membalas marahnya dengan kemarahan.

"Oh, sorry, Abang lupa." aku balas dengan meminta kemaafan.

"Abang! Ikatlah dulu rambut Ayang sebelum mandi! Macam Mama selalu buat!" marahnya lagi.

"Oh, sorry, Abang lupa. Mari sini Abang ikatkan dulu." aku cuba uruskannya dalam keadaan tenang.

Selesai mandi.

"Abang! Sejuklah! Janganlah tanggalkan tuala ni! Mama tak tanggalkan tuala pun." marahnya lagi.

"Oh, sorry, Abang lupa. Lap badan dulu. Bila badan kering, barulah tak sejuk." terus bertenang.

"Ish! Abang! Baju ni terbalik lah! Yang ni dekat belakang! Yang ada gambar ni dekat depan! Itu pun tak tahu ke? Pakaikanlah macam Mama pakaikan!" sekali lagi dia menegur.

"Sorry ya. Abang tak sengaja. Abang tak tahu. Abang ingat yang gambar ni kat belakang." aku terus bertahan dalam keadaan yang positif.

"Abaaaannnggg!!! Tolonglah zipkan. Macam mana Ayang nak zip sendiri. Zip baju ni kat belakang! Selalu, Mama yang zipkan." dia terus memperbetul aku.

"Oh, sorry, Abang lupa. Sini Abang zipkan." positif.

"Abang! Kenapa tak susun kerusi! Ayang nak duduk! Mama selalu susun kerusi dekat sini kalau Ayang nak pergi sekolah."

"Oh, sorry, Abang lupa. Kejap ya, Abang nak susun lah ni."

"Bukan macam ni!!" Dia pun menyusun sendiri kerusi-kerusi tersebut.

"Haa!! Macam ni Mama susun." Jari telunjuknya menunjuk ke arah kerusi, menerangkan aku susunan yang betul untuk menyusun kerusi-kerusinya seperti Mama buat tiap-tiap hari. Macam-macam karenah.

"Laaaahhh!! Yakah? Ok, esok-esok Abang susun macam ni." aku beri dia jaminan esok, pengurusan yang lebih baik.

Aku pun meninggalkannya dengan tanggapan sudah siap aku uruskannya. Tinggal lagi Papa yang hantar Awina ke sekolah.

"Abang!!! Betulkanlah 'ikat' rambut ni macam Mama buat." sambil menunjukkan ikatan di rambutnya.

Aku hampir tergelak. Aku ingat sudah habis urusan dengannya. "Opss. Sorry, Abang lupa. Nak ikat macam mana?"

"Ikat 'satu' je," arahan Awina.

"Betul tak macam ni?" soalku bagi kepastian.

Awina mengangguk tanda betul. Tetapi aku lihat ikatan di rambutnya tidak kemas. Senget sedikit ke kanan. Aku diamkan sahaja kerana jam sudah jam 7 pagi. Takut Awina lewat ke kelas.

"Abang!! Pakaikan kasut!" lalu aku pakaikan.

"Abang tak payah lekatkan kasut Ayang! Abang pasangkan je. Ayang yang lekatkan sendiri. Macam Mama buat." sekali lagi aku ditegur kesilapan.

Aku hanya diam kali ini.

Awina hulurkan tangan untuk bersalaman sebelum ke sekolah. Aku menyambut tangannya.

Awina pun menaiki kereta.


Macam-macam karenah Awina yang perlu Mama hafal setiap hari rupanya. Tiap-tiap hari inilah Mama hadapi. Begitulah tanggungjawab seorang ibu. Benarlah bak ditutur lidah pendeta "Ibu insan luar biasa. Saat tangan kanannya menghayun buaian anak, tangan kirinya menggoncang dunia., "

Awina marah memang comel. Sebijik macam gaya Upin & Ipin. Tak adil jika aku marah balik.

Maafkan Abang, Awina.
Abang tak mampu nak 'buat macam Mama'.

You May Also Like

8 Bekas Tapak Kaki Pengembara