Al-Fatihah dan Takziah

by - 3:22 PG

Keseronokan hari raya disambuat meriah dengan amalan ziarah-menziarahi rumah tetangga sambil bertukar-tukar ceritera sebilangan besar daripada kita. Bahagialah yang dapat merasakan pereasaan itu. Bagaimana pula dengan sebilangan kecil daripada kita yang terpaksa berhari raya tanpa insan tersayang? Tak kisahlah sama ada tidak dapat pulang ke kampung halaman, anggota keluarga sakit ataupun meninggal dunia.


Perkhabaran mengejutkan diterima lewat laman sosial Facebook. Insan bernama Amirul Fiqri (Po) telah pergi ke rahmatullah pada 29 Ogos 2011 setelah sekian lama menghidapi kanser perut sejak awal zaman persekolahannya. Aku agak terkesima tatkala terbaca ucapan takziah yang disampaikan kepada keluarganya tidak putus-putus. Masih terngiang-ngiang lagi suara arwah dalam ingatanku.

Aku mengenalinya semasa pertama kali aku menjejakkan kaki di bumi tarbiah MRSM Tun Ghafar Baba. Pada saat itu, aku tidak tahu mana arah untuk dituju kerana tidak mempunyai kawan. Melalui perantaraan Ganu, aku mengenali bekas pelajar-pelajar MRSM Kepala Batas, termasuk Po.

Boleh dikatakan setiap petang, aku akan meluangkan masa bersama dia bersembang-sembang kosong. Jika diimbas kembali terdapat pelbagai perkara menggelikan hati dalam perbualan kami. Po yang sangat peramah tidak pernah menjadikan teman bualannya mati akal. Gurauannya kadang-kadang agak kasar tetapi lucu dan jarang menimbulkan kemarahan.

Berita yang menyatakan dia sudah kembali ke rahmatullah seakan-akan aku tidak boleh percayai. Seakan-akan kami berdua baru saja bertemu semalam. Tak sangka seorang sahabat yang sangat membantu dalam kesusahan telah tiada. Apa yang tidak boleh aku lupakan dia pernah mempertahankan aku di hadapan seseorang semasa aku jatuh terduduk dihukum keadaan di mana wang saku pemberiaan Papa, hilang sekelip mata. Ah, aku tidak mahu menyebut-nyebut lagi kisah itu.

Rasa sedih, sebak dan hiba amat aku rasai. Tetapi jika nak dibandingkan dengan rasa yang dialami oleh keluarga Po, lebih-lebih lagi ibunya, 1 peratus pun tidak boleh disamakan.

Sekalung ucapan takziah kepada keluarga Po. Apalah salahnya jika kita menghadiahkan serangkap bacaan Al-Fatihah buat saudara Muslim kita yang bernama Amirul Fiqri bin Rashidi ini. Al-Fatihah..

You May Also Like

1 Bekas Tapak Kaki Pengembara