Mengurus Angpou Duit Raya
Tidak ramai anak-anak yang sedar akan kepentingan menguruskan wang
secara hemat, justeru, ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih dewasa perlu
mengambil sikap proaktif dan prihatin memberi bimbingan. Maslahatnya adalah
demi masa hadapan anak-anak juga supaya mereka ada dana yang cukup untuk
menyambung pelajaran, hidup bebas hutang dan sedar peri penting mengurus wang.
(1) – Kumpul dan kirakan duit raya anak-anak. Latih
sejak kecil, sediakan kotak khas setiap seorang. Dapat angpou beri kepada ibu
atau masukkan dalam kotak. Ibu bapa jangan malas buat catatan supaya tidak lupa
dan mencampur-adukkan duit anak-anak. Ada ibu bapa mengumpulakn tanpa
mengasingkan lalu membahagikan sama rata hasil duit raya. If unequals
receive equal shares, or equals receive unequal shares, it causes quarrels and
complaints. Menyuarakan sebagai empati dari sudut pandang anak, penulis
tidak bersetuju dengan konsep keadilan yang diamalkan ini kerana man jada wa
jadda, siapa usaha dia dapat hasil tuaian. Melainkan penulis sendiri dapat duit
raya paling sedikit dalam kalangan adik-beradik. Kihkihkih!
(2) - Jangan meminjam duit anak sama ada ada niat
untuk memulangkan kembali atau tidak. Mereka penat beraya dari hujung kampung
ke kampung sebelah. Apabila mereka mempercayai untuk serahkan duit kepada ibu
bapa, tiba-tiba ibu bapanya membeli perabot baru menggunakan duit raya anak
tanpa pengetahuan mereka. Hilang kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa.
Mengkritik Menteri, Exco Kerajaan dan penjawat awam pecah amanah nombor satu,
tapi diri sendiri cakap tak serupa bikin.
(3) - Asingkan RM50 belikan mainan, makanan kegemaran
atau pun bawa jalan-jalan supaya anak-anak dapat merasa keseronokan.
(3a) – Cara lain, Ibu bapa boleh juga beri bonus
RM50 kepada anak sebagai kesanggupannya menabung sejumlah duit raya mereka
secara 100%. Sebagai contoh, simpan 90% ke atas, dapat hadiah RM50. Simpan 70%
ke atas, dapat hadiah RM30. Simpan 50% ke atas, dapat hadiah RM10. Mereka pasti
berfikir seeloknya dan secara tidak langsung ibu bapa telah mengajarnya ilmu
pelaburan sebagai persediaan mereka di masa hadapan. Takkan tak boleh sedekah
sikit untuk anak tersayang?
(3b) – Libatkan anak dalam membuat keputusan
pengurusan kewangan mereka. Ada ibu bapa yang mengambil pendekatan kuku besi
diktator-isme di mana keputusan ibu bapa keputusan mutlak. Pendekatan ini bakal
menjayakan penyimpanan duit raya namun gagal memberi pendedahan dan pelajaran
untuk anak-anak. Cara diktator yang disebut tadi hanya sesuai digunakan
sekiranya anak degil. Waima pun begitu, ibu bapa yang bijak pasti dapat
memikirkan cara diplomasi yang terbaik dengan anak.
(4) - Masukkan duit raya anak-anak ke dalam akaun
Tabung Haji. Bawa MyKid anak untuk pendaftaran Tabung Haji. Akaun Tabung Haji
boleh dibuka dengan baki minimum RM100.
(4A) - Masukkan duit raya yang telah
dipersetujui.
(5) – Ulang Langkah (1) hingga Langkah (5) pada Raya
tahun depan, kecuali Langkah (4). ***melainkan dapat baby baru***
Untuk memupuk kesedaran kewangan kepada jiwa anak-anak, ibu bapa
jangan berkira untuk me-reward, namun jangan pula malas untuk buat “kira-kira”.
Pilihan antara Tabung Haji atau ASB menjadi perdebatan yang hangat
juga dalam kalangan masyarakat. Namun, itu adalah pilihan masing-masing.
Kedua-dua instrumen berkongsi kebaikan yang mutual seperti patuh Syariah,
pelaburan risiko rendah dan pulangan dividen yang memuaskan. Secara peribadi,
penulis memilih Tabung Haji kerana simpanan akan dizakatkan siap-siap.
Akhirul kalam, “Tidak ada suri teladan yang paling baik untuk diikuti
melainkan ibu bapa dan penjaga anak-anak itu sendiri.”
Tulisan Zeaf I-sahus
Julai 4, 2017
0 Bekas Tapak Kaki Pengembara