"The budget should be balanced, the treasury should be refilled, public debt should be reduced, the arrogance of officialdom should be tempered and controlled; lest Rome become bankrupt."
-Marcus Tullius Cicero-
Cicero tidak hanya popular sebagai seorang orator di zamannya, malahan juga sebagai seorang ahli politik dan falsafah di kota Rom[1]. Menyandang jawatan ahli Dewan Senat, Cicero tentu menyedari akan kepentingan pengurusan kewangan negara yang cekap, amanah dan boleh dipertanggungjawabkan. Sedih sekali apabila kita terpaksa mengakui bahawa inilah ciri-ciri yang semakin terhakis dari pengurusan iktisad ekonomi negara kita.
Andai Cicero ada di Malaysia, sebagai seorang yang memegang jawatan dalam badan, sama ada legislatif, eksekutif mahu pun judisiari, sudah tentu Cicero akan lantang bersuara menentang ketirisan yang berlaku di Malaysia.
Majoriti rakyat proletriat semakin sengsara sementara sebilangan kecil golongan elit bergembira dengan kemewahan. Kapitalisme. Mengapa rancangan dalam Belanjawan Negara hanya menguntungkan segelintir pihak sedangkan menekan sebilangan yang lain?
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang komited untuk berdialog[2] telah beberapa kali mengecewakan rakyat dengan kegagalan beliau berdebat dengan individu seperti negarawan Tun Dr Mahathir, mantan ketua pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain. Dikatakan, debat bukan budaya kita. Begitu malu sekali adanya Debat Piala Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri sendiri malu berdebat. Mungkin beliau lebih selesa menjawab isu-isu hanya di ruangan Soalan Lazim blognya[3].
Rakyat sudah berasa pun terbeban. Wujud anak-anak yang kelaparan. Graduan menganggur yang menghadapi masalah hutang. Pasangan yang masih tidak dapat berkahwin. Nilai Ringgit Malaysia semakin rendah[4]. Harga barangan yang semakin meningkat. GST membebankan rakyat. Kenaikan harga petrol. Krisis Tabung Haji. Krisis itu dan ini. Banyak lagi masalah yang timbul akibat pengurusan ekonomi yang tidak meyakinkan untuk menarik lebih pelaburan asing.
Korea Selatan yang sebelum ini jauh ditinggalkan oleh Malaysia melalui senarai prestasi KDNK telah pun meninggalkan Malaysia di belakang. Bagi Korea Selatan, pada mulanya rancangan ekonomi industri pengeluaran barangan elektronik murah telah mengubah wajah Korea Selatan. Kemudian, mereka beralih dengan penghasilan produk bernilai tinggi pada 1980-an[5]. Pada hari ini, dapat dilihat negara Korea Selatan amat maju di hadapan.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya putus harapan apabila disajikan dengan hakikat Malaysia yang sudah ketinggalan berbanding Korea Selatan. Sayugia, hakikat fakta tersebut menjadi pencetus pemikiran dan pembuka mata untuk mengubah sikap buruk, mencontohi kejayaan Korea Selatan dan mengembalikan semula keyakinan rakyat di Malaysia, bahawa Malaysia juga mampu maju.
Adalah wajar buat kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, agar memastikan segala urusan telus untuk penelitian awam. Di samping itu, perbincangan dan nasihat dari pelbagai pihak tidak boleh diabaikan sama sekali. Nasihat Cicero bahawa the arrogance of officialdom should be tempered and controlled, lest Rome become bankrupt, secara tuntas, mutiara kata yang semakin relevan kini.
Apa yang rakyat harapkan daripada kepimpinan kerajaan adalah pembaharuan, perubahan, transformasi, reformasi dan penambahbaikan dalam ekonomi negara. Sesiapa pun yang mahu memimpin, rakyat Malaysia mahukan rawatan buat negara Malaysia yang semakin tempang dalam menghadapi krisis ekonomi dinihari.
Harap-harap ada Cicero yang akan muncul di Malaysia sebagai hero.
Tidak lama lagi.
Rujukan
[1] Retrived on July 2, 2015 from http://www.notablebiographies.com/Ch-Co/Cicero-Marcus-Tullius.html
[2] Retrieved on July 2, 2015 from http://www.utusan.com.my/berita/nasional/najib-komited-untuk-berdialog-1.99599
[3] refer http://www.najibrazak.com/bm/faq-4/
[4] Retrieved on July 2, 2015 from https://www.youtube.com/watch?v=ZHTyd31W4K8
[5] Retrieved on July 2, 2015 from https://eh.net/encyclopedia/the-economic-history-of-korea/