Awal Mula Pertama Mula.
Tak mampu lagi Mak Lijah membendung butir mutiara di kelopak
mata dari jatuh ke bumi. Pelukan Mak Lijah terhadap Izara seakan-akan tidak
mahu melepaskannya. Izara mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam Asasi
Undang-Undang Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia di UiTM Shah Alam.
“Sudahlah tu, ibu. Izara nak
belajar dekat Shah Alam bukannya lama. Setahun saja. Izara di sana mahu belajar. Bila Izara dah berjaya
nanti, Izara nak tolong ibu.” Luahan keazaman Izara dengan suara yang serak
kerana menangis mahu meninggalkan ibunya yang tercinta.
Suasana di Terminal Bas Larkin ketika itu bagaikan lokasi penggambaran.
Perpisahan mereka penuh drama.
Sampai saja di Terminal bas Seksyen 17 Shah Alam, Izara menelefon ibunya
memaklumkan dia sudah tiba.
Sementara mahu menunggu bas T529 dari Seksyen 17 untuk ke UiTM, tidak
putus-putus Izara berbalas khidmat pesanan ringkas(SMS) dengan Mak Lijah.
Selepas mendaftar juga Izara tidak lekang tangannya dengan telefon
bimbitnya berbalas SMS dengan ibu tersayang.
Begitulah setiap hari.
Boleh dikatakan setiap yang Izara lakukan, dia akan terus maklumkan kepada
ibunya.
‘‘Ibu, Izara dah solat,’’
‘‘Izara rindu nak makan masakan ibu,’’
‘‘Malam ini Izara mahu ke
perpustakaan, ada study group,’’
‘‘Izara mahu ke kelas dulu, Ibu,’’
Selepas dua bulan Izara bertemu
dengan Udin, rakan sekursusnya. Mereka berkawan baik. Mereka keluar
bersama-sama, makan bersama-sama, belajar bersama-sama. Pada bulan ketiga,
mereka sudah mesra lalu meluahkan rasa cinta.
Dari 30 SMS dalam 1 hari yang
dihantar kepada ibunya awal pengajian dahulu, kini 1 SMS untuk 30 hari pun
payah.
Cinta 2 bulan pertemuan bersama
sang buayafriend telah berjaya memadamkan
cinta Mak Lijah selama 20 tahun membesarkan Izara.
Sayang seribu kali sayang.
Niat Kita
Kisah di atas bukanlah kisah
benar. Tetapi kisah ini banyak benarnya.
Junjungan baginda Nabi Muhammad
s.a.w. dalam sabdaannya, “Innamal a’malu binniat..”
Setiap amal itu bermula dengan
niat.
Niat di hati Izara melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi mahu
menolong ibunya. Namun niatnya telah terpesong akibat pertemuannya dengan Udin.
Niat sebegini sebagai bekalan
titik mula adalah bersifat sementara, kabur dan sukar untuk diteruskan. Apatah
lagi slogan retorik yang dilaung-laungkan berjuang demi ‘agama, bangsa dan
negara’.
Allah berfirman dalam Kalam-Nya, ‘‘Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku,’’ [51 :56]
Pokoknya di sini ialah ibadah
kepada Allah dan kerana Allah
Bekerjalah kerana Allah.
Belajarlah kerana Allah. Makanlah kerana Allah.Buatlah setiap perkara diniatkan
kerana Allah. Maka, segala-galanya bertukar menjadi Ibadah.
Seseorang yang menjaga niatnya
kerana Allah, maka dia tidak akan melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba. Dia
tidak akan lupa tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya. Dia tidak akan lupa
peranannya dalam agama. Dia tidak akan lupa perjuangan bangsanya sekali gus
memelihara nama baik negaranya. Yang paling penting sekali, hidupnya diberkati,
diredai dan menerima nusrah-nusrah dari Allah Taala.
Bekalan Titik Mula
1. Islahkan diri untuk menjadi
hamba Allah yang lebih baik dari aspek duniawi dan ukhrawi.
2. Menjadikan bidang ini sebagai
platform Dakwah untuk menyebarkan kalimah Lailahaillallah ke seluruh alam. Kita
mempercayai bahawa nafas dakwah itu panjang.
3. Falah dalam mencapai semua
senarai impian hidup di Dunia dan Akhirat.
Bawalah 3 niat ini sebagai bekalan titik mula.
Semuanya kerana Allah, maka Allah akan pelihara.