Aku seorang mad'u

by - 9:19 PG


Malam tadi telah berlangsung sebuah forum anjuran Dewan Penginapan Pelajar MiSC Universiti Utara Malaysia. Forum tentang aurat. Program ini merupakan lanjutan kepada Kempen Menutup Aurat yang diadakan.


Ramai penontonnya. Aku juga ke sana.

Terserempak juga dalam perjalanan dengan beberapa orang kenalan, rakan-rakan, senior-senior seasrama, dan beberapa "orang kuat" Masjid UUM. Kami bertukar senyuman pabila berselisih.

Aku ke sana sebagai seorang mad’u.

Berniat dalam hati mahu mencedok sedikit ilmu sementara melakukan eksperimentasi dakwah daie kepada mad’u. Niat sampingan mahu melihat bagaimana rakan sewaktu Asasi dahulu, Aisyah Syakirah, menyampaikan dakwah.



Turut dihadiri dengan penampilan istimewa oleh Ustaz Bashir dan Heliza Helmi dalam majlis tersebut. Atas sebab urusan lain, aku sedikit terlewat ke sana. Mujur sahaja pada waktu itu, forum baru sahaja dimulai.

Hujan rintik-rintik yang turun tidak mematahkan langsung semangat penonton yang hadir ke majlis ilmu tersebut. Ada yang duduk di bawah khemah, ada yang berpayung, ada pula yang menumpang kanopi gerai-gerai berdekatan, ada juga yang sanggup berdiri di tengah hujan semata-mata kerana dahagakan ilmu.

Aku hanya memerhati. Dan masih memerhati.

Berbicara tentang aurat, selalunya fokus diberikan kepada kaum Hawa. Memang majoriti kaum Hawa yang datang, namun ramai juga kaum Adam yang datang. Mungkin mereka mahu memuliakan kaum wanita kerana mahu menjadi seorang yang mulia. Sebagaimana yang telah termaktub dalam sebuah hadis yang lebih kurang bunyinya, "Lelaki yang memuliakan wanita, dia itu mulia," . Wallahuallam.

Keterampilan ilmu dalam diri Ustaz Bashir amat mengagumkan. Sesuai dengan title ustaz yang dipegangnya. Tambahan pula, ceramah beliau amat lawak dan telah memikat qalbu anak-anak muda yang mendengar. Setiap pertuturan kata beliau merupakan ilmu-ilmu yang sangat mahal. Beruntung sekali bagi mereka yang datang dan mendengar apa yang disampaikan oleh Ustaz Bashir.

Pengisian yang disampaikan oleh Heliza Helmi amatlah baik. Analogi yang digunakan sangat masuk akal. Boleh dikatakan apabila Ustaz Bashir dan Heliza Helmi berkata-kata, penonton yang hadir tidak kering gusi dan senantiasa segar mata. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada mereka berdua.

Pusingan pertama forum ini diakhiri dengan saudari Aisyah Syakirah.

" Untuk pengetahuan semua, saudari Aisyah ini berumur 19 tahun. Saya ulang 19 tahun. 19 tahun. Dan beliau merupakan seorang pelajar UM dalam bidang undang-undang,..." moderator memperkenalkan panel sebelum mengajukan soalan, saudara Syubhana Mufti.

Mendengar perkataan undang-undang, audiens merasakan suatu aura. Mereka berpandang sesama sendiri.

Sekumpulan senior wanita dari asrama sama yang mengenaliku, pandangan mereka mencari-cari kelibat jasadku. Tercari-cari, akhirnya terjumpa. Mereka senyum. Aku pun senyum.

Salah seorang daripada mereka menunjukkan isyarat kepada Aisyah sambil bibirnya dikumat-kamitkan kepadaku. Memandangkan Aisyah seusia denganku dan mengambil kursus pengajian sama tetapi tempat yang berbeza, senior tersebut bertanya "Kenal ke?".

Aku hanya mengangguk mengiakan pertanyaannya walaupun tidaklah sekenal mana. Hanya pernah berbual sembang dua tiga kali sahaja dengan Aisyah sebelum ini. Itu pun kerana ada program yang sama-sama dijalankan dahulu dan kerana Aisyah merupakan kenalan sahabat aku, Afiq Hakimi, yang kini berada di UnisZA.

Lelaki di sebelah aku bermonolog seorang diri, "Fuyooh, budak Law,".

"Budak Law kalau bab bercakap dalam forum ni, memang power lah," seorang lelaki di belakangku dengan yakinnya mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Tiba giliran Aisyah untuk menjawab soalan yang dilontarkan. Kelihatan Aisyah amat kekok berbahasa Melayu dan terus minta izin untuk berbahasa Inggeris.

Mendengar Aisyah Syakirah berbahasa Inggeris, suasana menjadi senyap. Audiens terdiam. Hanya suara Aisyah yang memecah kesunyian. Mereka terkesima mungkin? Terkesima atau tidak faham?

Aku tidak pernah ada niat untuk merendah-rendahkan pelajar UUM dengan mengatakan mereka tidak faham bahasa Inggeris. Masalah mereka sebenarnya kerana malas dan tidak berkeyakinan diri. Bukan semua, hanya segelintir.

"Hek eleh, dia cakap you all, i all (uolls, iolls) lah. Mentang-mentang lah budak Law," kata seorang mahasiswa dengan loghat kenegerian yang tak hilang di lidah, mungkin berasa meluat mendengar Bahasa Inggeris Aisyah. Sengaja aku tulis dalam bahasa pasar biasa kerana tidak mahu mana-mana negeri berkecil hati.

Ini juga lagi satu masalah mereka. Tidak mahu memberi ruang langsung untuk memperbaiki kelemahan diri. Malahan, disindir lagi Aisyah yang telah membuka ruang untuknya mempelajari bahasa Inggeris.

Penghargaan hendaklah diberikan kepada bahasa. Sama ada penjajah ataupun yang dijajah.

Eksperimentasi dakwah daie kepada mad'u malam itu nampaknya, aku lebih banyak memerhati dari segi perkataan daie itu sendiri.

Pelajar UUM sebagai audiens forum tersebut. Majoriti daripada mereka dengan pencapai band 1 dan band 2 dalam ujian MUET. Bukan tidak ada yang band 4 dan band 5, cuma tidak ramai. Pada hematku, penceramah seharusnya menyesuaikan bahasa dengan tahap penguasaan audiens.

Pada aku juga, daie tidak seharusnya menyebut kata-kata sebegini, "Sorry lah, saya ni budak law. Kalau bercakap memang macam ni." Pertama, kata-kata ini memperlihatkan seakan-akan kita bangga dengan kursus yang kita ambil. Kedua, kata-kata ini kelihatan kurang professional.

Tidaklah niatku di sini untuk melukai atau menembak siapa-siapa. Niatku hanyalah eksperimentasi buat daie dalam penyampaian dakwah. Aku juga manusia biasa.

Pagi ini aku kelas. Seperti biasa menaiki bas biasa. Dalam kesesakan orang ramai yang biasa. Dengan kelewatan kelas yang biasa.

Tiga orang mahasiswi berjumpa di pagi hari. Kelihatan seperti mereka sangat akrab. Melihat pakaiannya, seorang seperti gadis yang sudah biasa duduk di asrama. Seorang lagi, gadis kampung ayu berbaju kurung. Seorang lagi, juga gadis kampung tetapi bersembunyi di sebalik pakaian gadis bandar dan tidak bertudung.

"Weh, kau pergi tak forum kat MiSC semalam? Aisyah tu kan rupanya sebaya dengan kita. Muka dia macam Najwa Latif lah weh." seorang siswi memula cerita.

"Haah weh, aku pun pergi. Dia cakap English weh." siswi kedua menyambung perbualan.

"Before rights and liberties come responsibilities, " siswi ketiga mengajuk pengisian Aisyah dengan sebutan yang kurang betul.

"Lepas datang tengok dia semalam, aku teringin nak cakap macam dia weh. Fluent gila." siswi kedua meneruskan lagi topik perbualan.

"Aku pun. Dulu kat SBP, aku menyesal aku tak belajar English betul-betul." siswi yang pertama tadi turut bersetuju dengan siswi kedua. Benarlah sangkaanku dia memang bekas pelajar asrama.

"No worry, nanti i teach korang," siswi ketiga menawarkan untuk mengajar mereka walaupun sebutannya bukanlah sebutan bahasa Inggeris yang betul. Tetapi semangat untuk memperbaiki diri dan orang lain itu tetap ada.

Siswi ketiga yang datang ke forum itu semalam belum dapat hidayah untuk bertudung walaupun forum semalam berkisar tentang aurat. Sekurang-kurangnya dakwah yang Aisyah sampaikan telah membuka kesedaran dan minat mereka untuk memperbaiki diri dalam penguasaan berbahasa Inggeris. Ini juga adalah dakwah untuk memajukan umat Islam.

Aku memandang dari perspektif lain. Manakala mad'u lain melihat dari perspektif yang lain.

Tahniah Aisyah!

You May Also Like

1 Bekas Tapak Kaki Pengembara